Thursday, September 12, 2013

Kenangan Menguncup Hajarul Aswad - Jun 2013

Menguncup Hajarul Aswad merupakan kenagan paling manis semasa berada di Masjidil Haram. Kaabah terdapat satu penjuru lampu hijau terdapat Hajarul Aswad dimana mermulanya tawaf.

Merupakan idamanku untuk menguncupnya tapi malangnya disebabkan terlalu ramai manusia berasak-asak menyebabkan aku memendamkan saja hasratku untuk menguncupnya.

Alhamdulillah syukur, masa ku di Mekah dipanjangkan dari hari Khamis ke hari Sabtu bermula dari hari Jumaat (dalam perjalanan dari Malaysia). Ingatkan dah tak sempat solat jumaat di Mekkah, rupanya doaku dimakbulkanNya sempat solat Jumaat di Mekah. Sebelum solat jumaat, aku datang awal sejam dan tawaf sunat. tapi belum sempat menghabiskan tawafku yang ke empat saf sudah dibentuk. Saf pertama sudah penuh. Maka aku memasuki saf yang kedua betul2 dekat dengan hajarul Aswad. Sebelum ini aku dah ushar setiap kali solat, bila imam bagi salam bermulalah orang mengerumuni hajarul aswad. Inilah peluang aku untuk menciumnya hari ini. Kebetulan tempat saf ku berhenti ada seorang teman yang juga datang Umrah bersama dengan Muhammadiyah Travel. Dia bertanyakan samada aku dah cium ke belum. Aku menyatakan aku belum cium, aku menanyakan kepadanya. Katanya dia dah cium. Dia memberi perangsang kepada ku supaya mencium nanti bila imam bagi salam dalam solat jumaat nanti.

Bila imam bagi salam kedua dengan pantas aku menyerbu ke hajarul aswad tapi jauh sedikit di sebelah kiri kira-kira satu depa dari Hajarul Aswad. Ada orang penuh mengerumuni tidak menghiraukan kopiah ku dah hilang, cermin mataku dan serban tercabut dan sempat ku pegang dengan tangan. Tiba-tiba terdetik hatiku untuk membongkokkan badan dan aku menyusuri kain kaabah dari bawah orang ramai yang berdiri dan ternyata aku dah berhadapan dengan Hajarul Aswad dan terus menguncupnya. Sekali kucup saja, hatiku menyentakkan supaya beri peluang kepada orang lain. aku terus keluar dari kepungan orang ramai itu dengan melonjakkan diri dan minta orang memberi laluan. Alhamduliaah semua dimudahkanNya.

Aku bersyukur, kemuadian meneruskan tawaf lagi empat pusingan dan solat sunat dibelakang sikit makam Ibrahim.
















Kenapa Kena Kucup Hajarul Aswad?

Kenapa Kena Kucup Hajarul Aswad?
Tarikh: Thursday, October 29 @ 14:05:40 MYT
Tajuk: Info Unit Pendidikan Agama Islam



Rumah Allah itu adalah kiblat kepada umat Islam seluruh dunia ketika menunaikan ibadat solat seharian dan Masjidil Haram yang menaungi kawasan itu menjadi masjid paling mulia dalam Islam.

Baitullah yang penuh berkat dan mulia itu dikenali juga dengan nama lain seperti al-Bait, al-Bait al-Haram, al-Bait al-Atiq dan Qiblat.

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Makkah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Ali-Imran: 96)

Ulama berbeza dalam mentafsirkan ayat berkenaan. Sesetengahnya mengatakan makna bait itu ialah Kaabah, sesetengahnya pula mengatakan bait itu ialah Masjidil Haram dengan dalil hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bermaksud:

“Daripada Abi Zar berkata: Aku bertanya Rasulullah s.a.w mengenai masjid yang paling awal dibina di bumi, sabdanya Masjidil Haram. Aku berkata, kemudian masjid mana? Sabdanya, Masjidil Aqsa. Aku bertanya berapa lama antara keduanya didirikan? Sabdanya, empat puluh tahun.”

Menurut cerita Ibn Zahirah al-Qarsyi, Kaabah dibina beberapa kali, iaitu oleh malaikat, Nabi Adam a.s, Nabi Ibrahim a.s, orang Quraisy, Ibn Zubair dan Hajjaj Yusuf as-Thaqafi.

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama Nabi Ismail meninggikan binaan asas Baitullah itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah:127)

Selain melakukan tawaf di rumah Allah itu, satu fenomena cukup ketara diperhatikan ketika musim haji, malah pada waktu lain ketika mengerjakan umrah, ialah tindakan sesetengah tetamu yang mengucup Batu Hitam atau lebih dikenali Hajarul Aswad.

Amalan itu didakwa sebagai mencontohi kucupan diterima daripada Nabi Muhammad s.a.w. Ulama menyatakan perbuatan istilam (melambai tangan) terhadapnya ketika memulakan tawaf atau mengucup Hajarul Aswad (sekiranya dapat) termasuk perkara sunat mengerjakan haji dan umrah.

Signifikan tindakan itu, sebagaimana digambarkan Saidina Umar al-Khattab, Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua: “Saya tahu anda adalah sebuah batu yang tidak mendatangkan bahaya dan faedah. Jika tidak aku melihat Rasulullah s.a.w mengucupmu, aku tidak akan mengucupmu.”

Nabi s.a.w menciumnya sebagaimana dilakukan nabi sebelumnya, sehingga Hajarul Aswad menjadi tempat bertemunya bibir kalangan nabi, orang soleh, jemaah haji dan mereka yang menunaikan umrah sepanjang sejarah.

Ia juga menjadi tempat permulaan dan akhir tawaf, sekali gus tempat mustajab dikabulkan doa.

Batu Hitam yang terletak di bahagian penjuru sebelah timur Kaabah adalah objek sangat disanjungi umat Islam. Secara kasar batu itu berukuran diameter 30 sentimeter dan 1.5 meter dari paras bawah.

Ia dikatakan pernah pecah kepada beberapa bahagian pada Zaman Pertengahan. Malah ada pihak mendakwa ia pecah menjadi berkeping-keping kepada lapan gugusan batu kecil.

Keadaan ini berlaku pada zaman Qaramithah, iaitu satu mazhab daripada Syiah Islamiyah al-Batiniyah daripada pengikut Abu Thahir al-Qarmathi yang mencabut Hajarul Aswad dan membawanya ke Ihsa' pada 319 Hijrah, tetapi kemudian dikembalikan lagi pada 339 Hijrah.

Gugusan terbesar dikatakan sebesar buah kurma dan tertanam di batu besar yang lain dikelilingi oleh ikatan perak dan diperkuatkan lagi dengan paku perak. Batu itulah yang dianjurkan untuk dikucup, bukannya batu di sekitarnya dan yang meliputi perak.

Antara keutamaan Hajarul Aswad kerana ia berasal daripada batu yang mulia (yaqut) dari syurga yang diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s agar diletakkan di satu sudut Kaabah.

Bahkan menurut tradisi Islam, batu itu berasal dari syurga pada zaman Nabi Adam a.s dan Hawa lagi, dalam keadaan putih berkilau dan bebas daripada unsur kejahatan, tetapi ia menjadi hitam kerana dosa yang diserap tahun ke tahun.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Hajarul Aswad itu diturunkan dari syurga, warna lebih putih daripada susu dan dosa-dosa anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.”

Dikatakan juga Nabi Ibrahim a.s yang menemui Batu Hitam dan apabila baginda membina semula Kaabah, Malaikat Jibril a.s membawa batu itu keluar dan memberikan kepada baginda.

Menurut cerita, apabila Nabi Ibrahim siap membina Kaabah, dengan bantuan puteranya, Nabi Ismail a.s, Allah memerintahkan baginda melakukan tawaf.

Baginda tidak dapat menetapkan bilangan yang tepat pusingan dilakukannya. Baginda berasa mereka yang lain juga akan keliru.

Justeru, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikannya suatu tanda untuk digunakan bagi mengira pusingan. Malaikat Jibril membawakan batu hitam terbabit kepadanya.

Bahkan, Nabi Muhammad s.a.w turut memainkan peranan dalam sejarah Hajarul Aswad. Ini kerana pada waktu pembinaan semula struktur Kaabah, Hajarul Aswad dipindahkan sementara dan bagindalah yang meletakkan semula batu terbabit di tempat asalnya.

Satu cerita yang ditemui dalam Sirah Rasulullah Ibn Ishaq menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w menyelesaikan satu pertelingkahan di antara suku Makkah, yang masing-masing berhak untuk meletakkan Hajarul Aswad di tempat asalnya.

Jalan penyelesaiannya ialah dengan memanggil semua pemimpin suku terbabit untuk mengangkat penjuru batu dengan satu kain dan kemudian Nabi Muhammad s.a.w meletakkan batu itu pada tempatnya dengan tangannya sendiri.

Umat Islam dari satu generasi ke generasi apabila mula tawaf dan selesai setiap pusingan, mengucup Hajarul Aswad, menyentuhnya dengan satu tangan atau sekadar memberikan isyarat kepadanya dari jauh.

Batu Hajarul Aswad akan dibangkitkan pada hari kiamat, dengan mempunyai 2 lidah dan 2 mata dan boleh berkata-kata serta memberitahu ” Ya tuhanku dia kucup (cium) aku, dia betul-betul ikhlas“

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Demi Allah! Allah akan membangkitkannya (Hajarul Aswad) pada hari kiamat, baginya sepasang mata untuk melihat dan lidah untuk berkata-kata; menjadi saksi kepada sesiapa yang mengusapnya dengan kebenaran.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Walapun ia adalah batu, ia hidup. Siapa yang menciumnya, ia akan menjadi saksi. Kalau tidak dapat mengucupnya, cukuplah sekadar istilam (mencium dari jauh secara isyarat). Quran juga tahu siapa yang membaca dan mengucupnya. Quran juga menjadi saksi dan lawyer di hari kiamat. Begitu juga kulit dan bumi menjadi saksi bercakap di sana:

Fussilat [21] Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit-kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata, telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan)

Zalzalah [4] Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya:

Rasulullah s.a.w berpesan kepada Sayyidina Umar yang pergi bersama rombongan 124,000 sahabat pergi membuat haji bersamanya ” Ya Umar, jangan kamu menyusahkan orang lain dengan sebab kamu ghairah hendak mengucup hajaraul aswad.

Kalau ada peluang kucuplah, tapi jangan berebut hingga menyusahkan orang lain. Menyusahkan dan menyakitkan orang islam yang lain besar dosanya.


Artikel ini datangnya daripada Portal Rasmi Pejabat Pendidikan Daerah Kerian
http://ppdkerian.edu.my/portal

Alamat URL untuk artikel ini:
http://ppdkerian.edu.my/portal/modules.php?name=News&file=article&sid=1039


Ada juga komplot yang mengambil kesempatan menolong jemaah menguncup hajarul aswad tapi mengharapkan bayaran. Ini adalah melampau dan tidak adil. Dengan Allah pun nak "RASUAH". Jangan menyusahkan dan menyakitkan orang lain. Mohon kepada Allah supaya diberi peluang dan kesenangan untuk menguncup Hajarul Aswad.